Peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai aspek serta bidang pada masa kini wajar dibanggakan kerana membuktikan golongan itu juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Wanita kini, menjadi harapan semua untuk melihat lebih ramai lagi wanita menyumbang kepada kalangan masyarakat dan negara melalui pembangunan keluarga, ekonomi, pendidikan, kesihatan, politik, sosial dan budaya.
Peranan atau tugas wanita terhadap negara ini begitu luas dan amat diperlukan. Kita semua hendaklah memandang tinggi dan memberi peluang kepada wanita untuk membuktikan kemampuan mereka. Sikap memandang enteng keupayaan wanita bukanlah satu tindakan yang tepat dalam kehidupan dunia penuh cabaran ini. Slogan “pemuda harapan negara pemudi tiang negara” harus menjadi peringatan kepada kita betapa besarnya sumbangan wanita terhadap kemajuan negara itu.